Drama 7 Hari Mencintaiku 2 : Dilema Menantu Perempuan Lambat Dapat Anak

Drama 7 Hari Mencintaiku 2 : Dilema Menantu Perempuan Lambat Dapat Anak | Salah satu isu yang diangkat dalam Drama 7 Hari Mencintaiku 2 ini adalah soal zuriat. Isu lambat menimang cahaya mata dari sudut pandang seorang ibu mertua, menantu perempuan dan anak lelaki.

Fuh ! Seram tau nak kupas isu ni.

Hawa bukanlah peminat Drama TV3 jam 7.00 malam. Termasuklah Drama 7 Hari Mencintaiku 2 ini. 7 Hari Mencintaiku  yang lepas, tengoklah juga beberapa episod dan tahu jalan ceritanya bagaimana.

Cuma, Hawa sebenarnya peminat hasil karya peguam hebat Siti Rosmizah. Antara karya beliau yang  telah diolah menjadi sebuah drama yang banyak beri pengajaran ialah Teduhan Kasih.

Membaca hasil karya beliau , hati ini umpama dilambung badai. Beliau sangat bijak bermain dengan emosi pembaca dengan kisah realiti yang berlaku dalam masyarakat.

Kisah yang kita anggap picisan, kes-kes perceraian yang kita rasa tak masuk akal tapi itulah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita.

Sama seperti 7 Hari Mencintaiku 2 , Hawa nampak ada beberapa isu yang diangkat dari permasalahan masyarakat.

Sebelum itu, jomlah tengok dulu siapa pelakon-pelakon hebat yang berjaya menyebabkan drama ini ditunggu-tunggu setiap hari.

7 Hari Mencintaiku 2 merupakan sebuah siri drama yang memulakan tayangan perdana di Slot Akasia TV3 pada 2 Julai 2020 yang lalu.

pelakon 7 hari mencintaiku

Pelakon-pelakon utama:

Siti Saleha sebagai Mia Adriana  
Shukri Yahaya sebagai Khuzairi
Wan Sharmila sebagai Sofi Amylia
Syazwan Zulkifly sebagai Helmi
Jaja Iliyes sebagai Nadia
Bil Azali sebagai Zaidi
Liza Abdullah sebagai Mak Leha
Kazar Saisi sebagai Pak Samad

Pelakon pembantu :

Jasmin Hamid sebagai Puan Hayati
Wafariena Roslan sebagai Nurul Ain
Faye Kusairi sebagai Syakila
Shaharuddin Thamby sebagai Dato’ Johari
Idris Md Diah sebagai Pak Andak
Anne Abdullah sebagai Mak Andak
Dhia Irdina sebagai Alisa Ariana
Puteri Rafasya sebagai Harlina (Kenit)
Sean Lee sebagai Adam
Syaffiq Sahli sebagai Jali
Razzuan Rosli sebagai Fariz
Shamielya sebagai Azura
Shahidan Izwan sebagai Sharif
Amelia Christie Lim sebagai Rafidah
Fadilah Mansor sebagai Emak Nurul Ain

Kisahnya lebih kurang begini. (Eh ! Belum habis lagi drama ni tau. Endingnya kalau siapa baca novel tahulah ye. Hehe.)

Mia Adriana dan suaminya, Khuzairi sekarang dah bahagia ditambah pula dengan kehadiran cahaya mata kedua.

Tapi, Puan Hayati (mama Mia) dan adiknya, Dato’ Johari tak habis-habis berdendam dengan keluarga mertua Mia iaitu Pak Samad dan Mak Leha.

Mereka atur perancangan dan libatkan Syakila sampai sanggup nak hancurkan rumah tangga Mia dan Khuzairi.

Kemuncak kejadiannya, Pak Samad dituduh ingin merogol Puan Hayati ketika beliau bermalam di rumah Pak Samad dan Mak Leha. Kemelut hebat pun bermula.

Kasih anak dan kasih isteri bergelut hebat. Buruk macam mana pun Puan Hayati sebagai mama Mia sebelum ini, dia tetap pertahankan mamanya. Mia dah hilang hormat pada Pak Samad. Mak Leha pula mula membenci Puan Hayati dan termasuklah Mia juga.

Badai terus-terusan melanda keluarga Pak Samad. Nadia putus tunang dengan Dr. Zaidi . Manakala, Helmi  pula bercerai dengan Sofi sebab ayah Sofi yang jahat (Dato’ Johari). Puan Hayati pula telah membuang Mia kerana Mia tidak dapat memberikannya duit.

Dalam kemelut keluarga yang belum selesai, Nurul Ain muncul dalam hidup keluarga Pak Samad. Mak Leha berkenan sangat pada gadis ini. Nurul Ain begitu sempurna di matanya dan nak dijodohkan dengan Khuzairi.

Ditengah-tengah kemelut rumahtangga Khuzairi makin meruncing setelah Khuzairi nak ditunangkan dengan Nurul Ain, kasih Sofi dan Helmi kembali bertaut. Mia pula dah buat keputusan untuk undur diri. Mia nak tinggalkan Khuzairi dan anak-anak demi restu seorang ibu pada Khuzairi sebagaimana permintaan Mak Leha.

Nak dijadikan cerita, Mak Leha sembang pula dengan Nurul tanya tentang Rafidah , kawan Nurul tu. Nak ‘direkemenkan’ pula kepada Helmi sebab Sofi lambat dapat anak. Dah 5 tahun kahwin tapi belum ada anak!

Sofi terdengar perbualan tersebut . Dia menangis. Hatinya sangat terguris dan rasa sangat rendah diri dengan kekurangan yang diuji Allah ke atasnya. Dia usulkan kepada Helmi untuk kenal-kenal dengan Rafidah dan dia bersedia untuk untuk undur diri demi kebahagiaan Helmi.

Kita tinggalkan dulu kisah Mia dan Khuzairi serta yang lain-lain tu ya. Sebabnya tujuan utama tulisan kali ini Hawa nak highlight tentang isu ini.

Dilema Menantu Perempuan Lambat Dapat Anak.

 

Antara point penting yang kita boleh ambil pengajaran dari Drama 7 Hari Mencintaiku 2 berkaitan isu menantu perempuan lambat dapat anak :

#Salah tanggapan masyarakat sejak dahulu kala.

Kahwin mesti ada anak. Jika tak ada anak, suami tak bahagia atau keluarga tak akan bahagia. Kebiasaannya, isteri yang dipersalahkan jika pasangan lambat dapat zuriat. 

Sama dalam kes Sofi dalam drama ini. Kalau boleh Hawa katakan ianya adalah buli emosi. Gurauan, pertanyaan dan plan yang bukan-bukan oleh orang-orang terdekat berkenaan zuriat lebih mudah melukakan hati Sofi.

Sofi rasa rendah diri, rasa sedih, rasa tak boleh bahagiakan suaminya, rasa dia telah mengecewakan banyak pihak disebabkan kekurangan dirinya walhal tiada sebab spesifik atau laporan medical pun yang menyatakan Sofi tidak boleh mengandung. Ada kemungkinan juga berpunca dari Helmi. Ya kan? Lebih molek kalau drama ini ada scene treatment yang berkaitan dengan masalah Sofi dan Helmi. Tapi, tak boleh kot kan? Karang jadi 70 episod pula. Haha.

Sambung isu Sofi tadi, Mak Leha dah judge macam-macam dalam fikirannya siap plan nak cari bini satu lagi untuk Helmi.

drama 7 hari mencintaiku 2

Dalam kes ini, jika Sofi tidak boleh menguruskan tekanan yang dihadapinya dengan baik dan tiada support yang bagus dari suami atau orang terdekat seperti Mia, ianya boleh menyebabkan keadaan lebih buruk. Untuk jangka masa panjang, mungkin boleh jadi penyebab kemurungan.

 

#Ibu Bapa yang terlalu protektif terhadap anak-anak sehingga masuk campur dalam banyak urusan hidup anak dan pasangannya.

Ya. Wajar saja seorang ibu atau ayah nak melihat anak-anak bahagia. Tapi setelah anak sudah mempunyai pasangan hidup, biarlah mereka sendiri yang menentukan hala tuju hidup mereka. Ibu bapa harus bertindak sebagai penasihat sahaja.

drama 7 hari mencintaiku 2

Berlaku dalam scene Mak Leha sibuk nak cari isteri lagi satu untuk Helmi sebab belum ada anak. Ianya mengguris perasaan Sofi tanpa dia sengaja. Hanya sebab bersembang tentang hal tersebut.

Begitu juga dengan Khuzairi, ditunangkan Nurul Ain tu dengannya sebab benci Mia.

Sama juga dalam kes Nadia, hampir nak ditunangkan dengan orang lain setelah putus tunang dengan Dr Zaidi.

Ironinya, Pak Samad lebih cool dalam menghadapi kemelut keluarga. Beliau dipandang sebagai orang dewasa yang lebih berhikmah. Lebih banyak menasihati bukan tukang buat keputusan.

 

#Sokongan suami atau isteri yang membuatkan pasangan menarik nafas lega , kurang tertekan dengan isu belum ada anak.

Dalam situasi diuji dengan lambat dapat anak, suami isteri mesti saling memberi sokongan dan bukan mencari salah siapa.

Antara dialog Helmi ketika Sofi tengah sedih bila terdengar perbualan Mak Leha dan Nurul tentang Rafidah.

drama 7 hari mencintaiku 2

“Ada dengan Fi pun dah cukup buat abang bahagia tau!”

“Mestilah abang nak hidup dengan Fi sampai bila-bila”.

“Fi, abang dah cukup bahagia dah ada dengan Fi sekarang. Tak apalah kalau tak ada anak pun, bukan rezeki kita lagi kan”.

Sikap Helmi yang menjadi pendengar setia saat Sofi meluahkan rasa hatinya juga patut dicontohi.

Wanita atau lelaki dalam keadaan down begini lebih memerlukan orang yang mendengar dan memahami. Wanitalah terutamanya!

Jadi, mohonlah jangan sesekali ‘cut’ luahan rasa mereka yang sedang dirundung emosi terpuruk itu dengan kata-kata yang tidak sepatutnya.

 

#Kebijaksanaan suami atau isteri dalam memberi kefahaman kepada ahli keluarga terdekat tentang isu lambat dapat zuriat.

Kadang-kadang, ada kata-kata ahli keluarga yang mengguris perasaan suami atau isteri kita. Jadi, untuk mengelakkan keadaan jadi lebih buruk, berterus teranglah dengan pihak yang mengeluarkan kata-kata yang tak sedap didengar dalam isu anak ini agar mereka lebih berhati-hati.

Antara kata-kata yang biasa jadi ‘joke’ untuk pasangan yang belum ada anak ialah (contoh) :

“Haiii..lama dah kahwin, entah bilalah nak merasa ada cucu dari Helmi pula”.

“Mia dah nak masuk 2 orang dah, Sofi seorang pun belum lagi”.

“Boleh dah Helmi cari seorang lagi, kot-kot dapat anak”.

“Sofi tu mandul ke?”.

Kenapa Hawa kata perlu diselesaikan secara baik, berterus terang dengan pihak yang berkata-kata? Sebabnya, jika berterusan ianya memberi impak buruk terhadap hubungan pasangan  dengan keluarga kita.

Contohnya, pasangan tidak lagi suka balik kampung mertua, fobia nak jumpa mertua atau tak nak ambil tahu tentang mertua sebab sering dilukai. Lebih teruk lagi, pasangan mengambil keputusan untuk undur diri dari perkahwinan (memilih untuk berpisah sebab dah tak tahan nak dengar atau hadapinya). Bukan lagi hal yang remeh dalam isu ini kan?.

drama 7 hari mencintaiku 2

Tindakan Helmi ‘slow talk’ dengan Mak Leha tentang isu ini sangatlah gentleman. Hawa percaya, tidak semua pasangan ada keberanian untuk mengambil langkah sedemikian.

Helmi dilihat sebagai lelaki yang berterus-terang dan protektif terhadap rumahtangga yang dibinanya berbanding sikap Khuzairi yang tak berterus-terang.

Mak Leha : Mak suka tengok Mi bahagia dengan Sofi. Mak sayang sangat pada Sofi.

Helmi : Sayang tu bukan hanya dari kata-kata mak, tapi dari hati ni. Kadang-kadang mak, kita tak sedar apa yang kita cakap  boleh menyinggung perasaan orang lain.

Mak Leha : Mak ada buat apa? Mak ada kecikkan hati dia ke?

Helmi : Tak mak. Sofi tak kecil hati dengan mak pun.

Mak Leha : ………….mak cuma ada cakap dengan Nurul, Mi dengan Sofi dah lama kahwin, mak kesian dengan Mi sebab takkan Mi tak nak anak kan?

Helmi : Mak, orang yang perlu mak kesian bukan Mi mak, tapi Sofi. Tanpa Sofi, siapa Mi ni mak? Mi ni pelajaran pun tak ada. Masa Sofi kenal Mi dulu mak, Mi tak ada apa-apa….(sampai akhir dialog, Mak Leha sedar dia telah mengguriskan hati Sofi dengan ideanya nak kenalkan Rafidah pada Helmi).

Apa yang nak disebut di sini ialah watak Helmi sebagai suami yang bijak menjernihkan hubungan isteri dan ibunya. Setelah mereka berdua bercakap dari hati ke hati, Mak Leha sedar kesilapannya dan terus minta maaf dengan Sofi.

drama 7 hari mencintaiku 2

Kemelut perasaan isteri dan ibu mertua selesai di situ. Kedua-dua pihak saling bermaafan dan saling menyayangi serta menerima kekurangan masing-masing seadanya. Bayangkan scene itu tidak ada, Sofi pasti jauh hati dengan Mak Leha dan Mak Leha pun meneruskan rancangannya untuk kenalkan Helmi dengan Rafidah. Tak ke lebih haru-biru jadinya?

Mudahkan ada suami bijak dan berterus-terang macam Helmi? Senang selesai masalah. Begitulah.

 

Kesimpulannya, dalam isu Dilema Menantu Perempuan Lambat Dapat Anak ini, semua pihak terutamanya keluarga terdekat mestilah saling memahami dan memberi sokongan.

Ini kerana , sokongan dari keluarga terdekat sangatlah perlu terhadap emosi pasangan yang sudah berkahwin tapi diuji sebegini.

Satu perkara lagi, kepada pasangan yang sudah lebih 2 tahun berkahwin silalah berjumpa doktor dan bersedia untuk menjalani sebarang rawatan kesuburan. Tidak perlu menunggu bertahun-tahun dan buat assumption yang bukan-bukan antara satu sama lain. Ianya tidak menyelesaikan masalah.

Sebagai hamba, ikhtiarlah kemudian tawakal. Jika Allah berkehendak maka ianya menjadi rezeki kalian semudah kun fayakun. InsyaaAllah.

Sekian, review Drama 7 Hari Mencintaiku 2 versi Hawa Hassan.

Terima kasih sudi baca sampai habis. Luv uols!

 

2 thoughts on “Drama 7 Hari Mencintaiku 2 : Dilema Menantu Perempuan Lambat Dapat Anak

  1. kesian para isteri yang masih belum dikurniakan cahaya mata malah dipersalah oleh mertua. Diharap semua isteri yang masih belum dikurniakan cahayamata diberikan kesabaran dan tabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

error: Content is protected !!