Air Mata Rindu Ini Takkan Pernah Berhenti Mengalir

Air Mata Rindu Ini Takkan Pernah Berhenti Mengalir

Air Mata Rindu Ini Takkan Pernah Berhenti Mengalir | 14 Januari 2020- 13 Februari 2020. Sudah sebulan kak pergi tinggalkan Cik Sue, anak-anak, mak, suami, Chik (kakak yang kedua) dan seluruh keluarga kita. Hari ini ada sedikit kekuatan yang Allah pinjamkan untuk menulis tentang ini.

Sekejapnya masa berlalu. Rindu kami pada kak tak pernah berkurang walau berapa tahun pun berlalu. Sampai saatnya kami mengikuti kak ke sana.

Air mata ini masih lagi mengalir bila teringatkan dirimu. Doa sentiasa meniti di bibir tak kira waktu.

Ada dua insan terdekat yang kami sayang, kami cintai tapi lebih dicintaiNya bersemadi di alam sana. Ayah dan kak. Allah paggil kak terlebih dahulu sebagai anak sulung yang banyak berbakti pada keluarga untuk bersama ayah di taman syurga.

Tenanglah kalian di sana. Kami di sini pasti menyusul ke sana jua. Cuma tak tahu bila.

Selesai sudah urusan ayah dan kak di dunia. Sampai masanya berehat dari kerenah dunia yang melelahkan.

Kak, izinkan Cik Sue nukilkan kisah kita di sini , kisah keluarga kita yang mungkin akan dibaca juga nantinya oleh anak-anak cucu dan keturunan kita.

 

Sabtu 11 Januari 2020…

Saat terima panggilan telefon dari mak memberitahu kak jatuh, tak sedarkan diri, Cik Sue dah terduduk. Allah! Hanya itu yang keluar dari bibir bersama deraian air mata.

Sabtu, 11 Januari kak dimasukkan ke Hospital Setiu, malam itu juga dibawa ke HSNZ.

Suami masih di Bintulu baru nak naik flight balik ke sini. Lewat malam baru suami sampai. Ringkas cerita sebelum Subuh kami memecut laju ke HSNZ. Ada anakanda Along dan abahnya di sana.

Malam tersebut memang tak tidur sangat pun. Menunggu berita dari Along dan abahnya. Just beri ruang suami rehat. Esok nak drive pula.

Jam 3 pagi, dikhabarkan ada pendarahan dalam kepala. Banyak kata doktor. Kak masih belum sedarkan diri.

 

Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu

Jam 7.00 pagi  lebih Hari Ahad kami sampai di Tingkat 8 HSNZ, salam peluk dengan Along. Lemah lutut untuk melangkah. Melihat kak terbaring dengan wayar berselirat sana sini. Allahuakbar!

Pada waktu ini, sampai tahap kami dah tak mampu nak buat apa selain bergantung harap pada Allah.

Doktor pun dah terang detail pros and cons jika pembedahan dilakukan. Abang (suami kak) pilih untuk tak buat pembedahan memandangkan keadaan kak yang setelah diterangkan oleh doktor begitu begini. Mungkin keputusan itu yang terbaik. Bukan menolak untuk dapatkan rawatan.

Ahad dan Isnin kak di HSNZ ditemani sepenuhnya abang dan Along. Cik Sue di rumah tengokkan mak.  Suami patah balik ke Kemaman , tak dapat cuti lama sebab kena ke Bintulu.

Kami tak putus doa untuk kak. Ya Allah ! Apapun keputusan Mu Ya Allah, itulah yang terbaik. Kami mohon izinMu , angkatlah segala sakit dan penderitaan kak. Sembuhkan kak seperti sediakala.

Kami minta bantuan Solat Hajat di pondok-pondok, kami sendiri bersama anak-anak buat juga. Tak berhenti doakan kesejahteraan kak.

 

Selasa, 14 Januari 2020

Tapi ternyata, Allah berkehendak lain. Allah lebih tahu mana yang terbaik untuk kak. Untuk kami. Untuk semua.

Selasa 14 Januari, kak dibawa kembali ke Hospital Setiu (lebih kurang jam 5.00 petang Along call beritahu).

Sampai di Hospital Setiu jam 6.00 petang macam tu. Abang beritahu dalam group WhatsApp, kak dah nazak. Anak-anak disuruh balik. Alhamdulillah semuanya dekat-dekat. Achik yang ada di rumah terus ke Hospital Setiu dengan Chik. Petang dan malam itu juga, anak-anak semua selamat sampai di rumah.

Lebih kurang 7.00 malam, kak pergi dengan tenang. Cerita abang (suami kak), saat-saat akhir kak sangat tenang setenang-tenangnya. Nafas yang terakhir keluar seolah-olah menarik nafas biasa dalam tidur. Suami, anak-anak dan sanak saudara dekat yang datang ada di sisi. Allah!

Malam selepas Maghrib kak dibawa balik ke rumah. Jiran, sahabat-handai semuanya memenuhi rumah kecil mak. Dari ruang tamu sampai ke dapur.

Cik Sue call suami yang baru balik dari Bintulu, masa tu dah sampai KL terus beliau ke Setiu. Sampai di rumah mak dekat jam 1 pagi. Jiran-jiran, sahabat handai kak, cikgu-cikgu sekolah, anak murid yang datang malam tu dekat jam 12 tengah malam baru mereka bersurai. Bacaan ayat-ayat suci menggema di segenap pelusuk rumah kecil mak.

Persediaan istimewa untuk menghantar kak esok disusun Allah sebaiknya. Segala urusan mudah. Saudara, sepupu, jiran, kawan-kawan semua bantu mudahkan. Kami tak sempat minta tolong, mereka dah siap tolong semua. Dari urusan makan-minum, mandikan jenazah, kafan , liang lahad dan semuanya dibantu sanak-saudara, jiran tetangga. Budi kalian kami tak mampu pun nak balas. Moga Allah balas dengan sebaik-baik pembalasan.

Malam itu Cik Sue rasa malam yang paling panjang dalam hidup. Tak mampu nak tidur. Saat anak-anak yang kepenatan berehat (dipaksa rehat sebab esok adalah hari yang panjang dan khidmat paling istimewa untuk ummi mereka) , tapi mata sendiri masih terkebil-kebil.

Malam itu, jalan raya tenang seolah tak ada kereta. Sunyi. Tenang. Suasana sejuk seperti  selepas hujan menyelubungi padahal tiada setitik hujan pun sejak awal hari tersebut.

Tak sedar terlelap jam berapa, yang tahunya jam 2.00 pagi masih belum lena.

Jam 4.30 pagi terjaga. Mak dan Chik sudah berteleku di sejadah. Anak-anak semua bangun, solat Subuh berjemaah. Masa ni juga abang dan kakak dari Perak baru sampai. Mereka bertolak dari Bruas, Perak lepas dapat berita pemergian kak.

 

Rabu, 15 Januari 2020 – Khidmat kami yang terakhir untuk kak di dunia

Usai solat Subuh, tetamu berdatangan untuk ziarah. Jam 7.00 pagi ramai cikgu-cikgu sekolah kawan kak datang. Bukan satu sekolah, mana yang mengenali kak semua datang ziarah.  Ruang tamu, ruang keluarga sampai ke dapur semua penuh.

Matahari terang-benderang. Cuaca hari Rabu 15 Januari sangat indah. Matahari terang, tapi tak panas membahang. Allah ! Bumi seolah-olah mengalu-alukan kedatangan seorang hamba yang soleh. Hamba yang selama hidupnya sangat sabar.

Segala urusan mandi jenazah diuruskan oleh keempat-empat anak soleh-solehah kak dibantu abahnya dan besan mak (Mak mertua Chik). Semuanya ahli keluarga. Cik Sue dan Chik bantu sediakan segala keperluan. Teh Na (isteri abang yang duk Perak) bantu urusan makanan jemaah dan sampul sedekah. Makanan dan minuman dah disiapkan lebih awal oleh anak saudara mak yang tinggal sebelah rumah. Terima kasih K.Za , K.Yah, K.Rah dan anak-anak sepupu Cik Sue. Sangat banyak membantu.

Urusan sangat mudah dan smooth walaupun orang ramai ziarah dan agak sesak dalam rumah mak. Ada lantai rumah yang patah juga saat ini tapi tak membahayakan sesiapa. Rumah lama, bahagian atas masih kekalkan papan, bilik, dapur dan lain-lain semuanya dah batu. Lantai itu mungkin sudah dimakan anai-anai dalam kami tak sedar. Itulah gambaran ramainya orang datang ziarah kak. Ramainya datang bagi penghormatan terakhir untuk kak.

Alhamdulillah selesai solat jenazah lebih kurang jam 10.30 pagi. Cik Sue tak pasti siapa yang mengimamkan solat, Along atau abahnya. Yang kami nampak surau arwah ayah penuh bahkan sampai ke luar beranda. Masa ni agak sibuk sebab makin ramai ahli keluarga yang sampai terutamanya yang jauh-jauh.

Kami tinggalkan tetamu di rumah seketika untuk mengiringi kak sampai ke tempat persemadian. Cuaca masih lagi terang benderang tapi tak panas walaupun waktu dah menginjak ke pukul 11.00 lebih. Pada hari biasa , jam 11.00 pagi dah mula panas menyengat sebenarnya di musim kemarau begini.

Sampai di kubur, kelihatan awan berarak. Mendung dan sejuk. Suasana yang boleh dikatakan sangat tenang walaupun tak dinafikan, air mata kami terus menerus melaju turun.

Kami sekeluarga bertafakur sejenak di persemadian kak, mengaminkan doa yang dibaca abang. Hati yang cuba dikuatkan walau badan seolah-olah melayang mahu rebah. Tenggelam dalam emosi yang cukup dalam. Tak ada kata yang boleh menggambarkan kami saat itu. Seolah ‘hilang rasa’. Bukan tak redha, bukan tak rela tapi fitrah yang bergelar hamba.

Lama kami di tempat persemadian kak. Mencari sedikit kekuatan untuk bangkit berdiri.

Saat kami beransur pulang, ada titis-titis hujan membasahi bumi dari awan mendung tadi. Tak lebat, tapi sejukkkk. Allah…Allah…

Itu bahagian kak, Allah memuliakanmu dengan pelbagai tanda kekuasan yang dipersembahkan di hadapan mata kami yang masih hidup.

Tenanglah kak di sana bersama ayah. Moga kak dan ayah berjumpa di taman-taman syurgaNya. Pasti ayah senyum melihat kedatanganmu.

Anak yang pemurah dan sangat banyak berbakti kepada keluarga. Anak sulung yang sabarnya sangat tinggi, anak sulung yang berkorban apa saja untuk adik-adiknya juga seorang ummi dan isteri yang banyak berkorban untuk keluarganya.

Benar-benar cantik aturan Allah. Disember 2019 yang lalu kak secara rasminya bersara dari dunia perguruan setelah lebih 20 tahun mengajar. Kehidupan selepas bersara, kak makin ok walaupun masih sakit.

Hari kak jatuh, kak happy sangat. Lepas sarapan , Solat Dhuha, kak jejak kaki ke halaman rumah tengok tanaman sebab kak suka berkebun.

In fact, Hari Jumaat sebelum tu sempat tempah satay sebab nak makan ramai-ramai sebab Adik Iffah (anak kak yang bongsu balik). Katanya, “Nanti adik dah sibuk kelas tambahan nak SPM, jarang dah balik kena duk asrama. Lambat lagi adik balik, lama lagi ummi nak dapat jumpa adik. Tempah sataylah nak buat makan-makan.”

Kak seolah-olahnya dah tahu. Allah…tak mampu Cik Sue nak tulis lagi…

Senyumlah kak di sana. Di dunia kak banyak menangis. Ujian demi ujian berdatangan dalam hidupmu. Ujian kesakitan yang sangat menguji sejak 3 tahun terakhirmu di dunia.

Cik Sue tak mampu nak nukilkan satu persatu. Cuma rindu untuk memelukmu dan kita sama-sama menangis sebab tak tahu macam mana dah nak buat untuk hilangkan kesakitanmu.

Rindu nak lihat kak senyum dan ketawa bila anak-anak buat lawak.

Rindu nak tengok kak berselera makan sotong dan ikan celup tepung.

Rindu nak tengok kak makan dimsum tak jadi Cik Sue buat tanpa komen. Kak tahu adik kak tak reti masak pun. Rindu nak dengar bebelan kak pasal sambutan Hari Persaraan. Itu momen-momen terakhir kita kak. Allah…

Saat ini, kak tenang di sana. Allah pinjamkan kak untuk kami di dunia hanya setakat ini. InsyaaAllah, Cik Sue akan jaga amanah kak dengan baik. Anak-anakmu sudah menjadi amanah kami. Kami pasti tunaikan amanah ini sebaiknya. Moga Allah mudahkan jalan kami.

Tunggu kami di sana, kak. Tak tahu bila akan menyusul. Mudah-mudahan husnul khatimah juga untuk kami. InsyaaAllah , mudah-mudahan kita berkumpul kembali bersama kak, ayah dan semuanya di syurga milikNya. Allahumma Amin.

Terlalu banyak untuk diperbaiki sementara masih ada waktu ini.

Kak dan anak-anak…

 

Rindu waktu ini. Raya di kampung dengan kak dan family. Sederhana tapi penuh cinta dan kasih-sayang. Takde glem-glem tapi suasana sangat meriah bersama anak cucu cicit. Yang masuk gambar 0.1% je biasanya.

Air mata rindu ini takkan pernah berhenti mengalir.

Ayah dan kak, aku rindu. Rindu sangat-sangat.

Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami hati yang redha.

25/4/1996 – Ayah
14/1/2020 – Kak

Al Fatihah untuk arwah ayah dan kak.

(Cik Sue – Hawa bahasakan diri dengan gelaran ini pada post ini sebab inilah panggilan manja kak, mak dan semua ahli keluarga  sejak Along, anak sulung kak lahir. Dah masuk 25 tahun).

Sekian nukilan. Saatnya perlu tenangkan diri. Doakan Hawa ya ! Tq.

2 thoughts on “Air Mata Rindu Ini Takkan Pernah Berhenti Mengalir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

error: Content is protected !!