30 Tanda-Tanda Hati Kita Kotor, Sakit Dan Perlu Dibaiki Segera

30 Tanda-Tanda Hati Kita Kotor Dan Perlu Dibaiki Segera | Bercakap soal hati ini sangatlah menakutkan. Hanya Allah dan kita sahaja yang tahu bagaimana hati kita. Ya kan?

    “Dan Allah mengetahui apa yang ada di dalam kalbu kalian.” (Al-Ahzab : 51)

Untuk memiliki hati yang bersih, selamat (qalbun salim) bukanlah sesuatu yang mudah dan perlu usaha yang berterusan seumur hidup sampai saatnya bertemu pencipta kita.

Di dalam al-Quran, Allah menyebutkan keadaan hati manusia ada tiga jenis iaitu qalbun salim (hati yang selamat), qalbun maridh (hati yang sakit) dan qalbun mayyit (hati yang mati).

tanda hati kotor
Gambar sekadar hiasan.
# Qalbun salim, iaitu hati yang selamat atau bersih

Hati ini disebutkan dalam firman Allah ,

“Pada hari yang harta dan anak-anak tidak lagi berguna, kecuali orang yang menghadap Allah dengan kalbu yang bersih.” (Asy-Syu’ara : 88 – 89)

Hati jenis inilah yang harus dijaga kesucian dan keselamatannya. Hati ini suci dan selamat dari kesyirikan, kekufuran, perkara bida’ah, kesesatan, dan bersih dari maksiat.

Macam mana nak jaga agar hati kita sentiasa mendapat hati yang begini (qalbun salim) ?

“Barang siapa beriman kepada Allah, niscaya Allah akan memberikan petunjuk kepada kalbunya.” (At-Taghabun : 11)

Kesimpulannya kenalah buat perkara-perkara yang Allah suruh dan jauhi apa yang Allah larang. Usaha dekat dengan Allah dengan apa cara sekalipun termasuklah ibadah-ibadah sunat dan zikir-zikir harian.

 

# Qalbun maridh iaitu hati yang sakit atau berpenyakit

Ketika menyebutkan sifat orang-orang munafik, Allah berfirman,

“Dalam hati mereka ada penyakit. Lalu Allah tambahkan penyakitnya. Dan bagi mereka azab yang pedih karena mereka berdusta.” (Al-Baqarah : 10)

Ada beberapa jenis penyakit yang menyerang hati manusia, di antaranya ialah :

  1. Penyakit syubhah 
    Penyakit ini sangat berbahaya kepada hati. Sebab, pengaruh penyakit ini dapat membuat seseorang tidak mampu membezakan mana yang benar dan mana yang salah. Terkadang kesesatan atau perkara bid’ah dianggap baik dan dijadikan sebagai amalan ibadah.

“Adapun orang-orang yang di dalam kalbunya terdapat penyimpangan, dia mengikuti yang mutasyabihat (yang samar) karena ingin membuat fitnah dan ingin mentakwilkannya (sesuai dengan akal pikirannya).” (Ali ‘Imran: 7)

Sangat menakutkan. Sebab itu, pada pendapat Hawa contohnya dalam hal-hal seperti amalan dan sebagainya mestilah berguru dengan guru yang benar (ada dalil dan nas dari sumber Al Quran dan Hadis).

2. Penyakit syahwat
Penderita penyakit hati jenis ini biasanya senang melakukan yang haram dan mudah tergoda untuk bermaksiat.

Itulah sebabnya, antara yang diajarkan Islam ialah menutup segala ruang yang membolehkan seseorang terjerumus melakukan dosa dan maksiat. Contoh paling mudah adalah menutup aurat dengan sempurna supaya boleh menutup pandangan yang bukan mahram yang membuahkan dosa. Selain itu juga, ia boleh menjaga Izzah (kemuliaan) dan Iffah (kehormatan) seseorang itu.

Satu lagi contoh paling dekat dengan kita ialah dalam hal menjaga ikhtilat (pergaulan) antara lelaki dan wanita. Agar terpelihara hati, adab dan akhlak sepanjang perhubungan, Islam ajarkan batasnya.

# Qalbun mayyit iaitu hati yang mati

Hati ini telah mati dan tidak boleh lagi melihat kebenaran, walaupun matanya melihat.

“Sebenarnya bukan mata yang buta, melainkan yang buta adalah kalbu-kalbu yang di dalam dada.” (Al-Hajj: 46)

Allahuakbar ! Moga kita semua terpelihara dari hati yang telah mati begini.

Hati telah tertutup, telinga telah tersumbat sehingga tidak boleh lagi menerima kebenaran. Bahkan, keadaan mereka seperti ini diakui oleh diri mereka sendiri, sebagaimana firman Allah,

Dan mereka berkata, “Kalbu kami telah tertutup dari yang kamu serukan kepada kami. Telinga kami telah tersumbat. Dan di antara kami dengan dirimu ada pembatas. Maka berbuatlah, kami pun akan berbuat sekehendak kami.” (Fushshilat : 5)

Ianya juga akibat sikap mereka yang berpaling dari kebenaran.

“Ketika mereka berpaling dari kebenaran, Allah memalingkan kalbu mereka. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.” (As-Saff: 5)

 

Hawa pernah baca ada sahabat kongsikan tentang tanda-tanda jika hati kita kotor, sakit dan perlu dibaiki segera. Mudah-mudahan kita boleh koreksi diri sendiri dan perbaiki ke arah yang lebih baik.

30 Tanda-Tanda Hati Kita Kotor, Sakit Dan Perlu Dibaiki Segera

1. Gelisah walaupun tiada masalah.

2. Selalu berbangga dengan diri sendiri.

3. Angkuh serta sombong dan pandang hina terhadap orang lain.

4. Tidak amanah dan mungkir janji.

5. Selalu mengintai keaiban orang dan sebarkannya.

6. Suka mengumpat dan membuka aib orang lain.

7. Gembira melihat orang lain susah dan rendah daripada dirinya.

8. Lidah yang tajam atau tidak menjaga hati orang.

9. Suka menyakiti hati orang dengan sindiran.

10. Berlagak alim semata-mata untuk dipuji orang.

11. Menyampaikan ilmu dengan riak.

12. Menganggap diri lebih hebat daripada orang lain.

13. Berpakaian elok untuk dipuji serta menunjuk-nunjuk.

14. Derhaka kepada kedua ibu bapa.

15. Talam dua muka (manis di depan tapi tak baik di belakang).

16. Suka menjatuhkan dan memijak orang dengan kuasa yang ada.

17. Solat yang tidak khusyuk.

18. Kagum terhadap diri sendiri. Merasa diri bagus serta cerdik.

19. Selalu mengeluh serta tidak reda dengan takdir Allah.

20. Cinta kepada dunia berlebihan dan materialistik.

21. Mudah bersangka buruk terhadap orang.

22. Membesar-besarkan hal yang remeh-temeh.

23. Suka bergosip dan menabur fitnah.

24. Menggunakan agama dan berdengki atas perkara duniawi.

25. Cinta dunia melebihi cintanya pada akhirat. Membesarkan dunia serta berangan-angan berlebihan untuk dunia.

26. Pendendam.

27. Penting diri dalam semua hal.

28. Berpura-pura dan suka membodek.

29. Tamak haloba serta bakhil serta sangat berkira dengan orang lain.

30. Nafsu serta kehendak syahwat yang tidak terbendung.

Kesemua sifat di atas adalah sifat Mazmumah (terkeji). Sama-sama kita muhasabah diri samada hati masih terhijab kepada Allah dengan sifat-sifat buruk di atas atau tidak.

Jika masih. maka hendaklah membersihkannya dengan mengenal Allah, banyak mengingati Allah, berdamping dengan guru pembimbing dan sentiasa bersangka baik kepada Allah dan makhlukNya.

Na’udzubillah min zalik. Semoga Allah ‘azza wa jalla menjaga hati-hati kita, serta mengambil nyawa kita dalam keadaan beriman. Amin.

 

Nota kaki : Tulisan ini adalah perkongsian hasil dari pembacaan peribadi, dan kuliah-kuliah tauhid dan tafsir Al-Quran bersama para asatizah yang diikuti semasa PKPB. Antaranya, kalian boleh juga ikuti di page Dr Solihah Kaswari. Moga bermanfaat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge
error: Content is protected !!